Suspek yang terjun dari tingkat empat PPR) Kempas Permai ketika dihampiri polis, semalam. - Foto FB
BERNAMA

Johor Bahru: Seorang lelaki dipercayai suspek kes curi kenderaan di daerah Johor Bahru Utara (JBU) bertindak terjun dari bangunan empat tingkat dalam cubaannya melarikan diri daripada polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah JBU Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata suspek berusia 22 tahun itu, dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes jenayah curi kenderaan.

"Pada 6.20 petang semalam, sepasukan anggota dari Unit Jenayah Curi Kenderaan bersama dua anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) pergi ke Blok C, Sri Tanjung, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai untuk membuat pemeriksaan di rumah suspek.

“Setibanya di tingkat empat bangunan itu, suspek yang dihampiri polis, bertindak terjun dari koridor. Bagaimanapun, dia cuma mengalami kecederaan di kaki," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 5:03 PM