Azman (tengah) menunjukkan wang tunai yang ditemui semula hasil penahanan tujuh suspek. FOTO Ibrahim Isa
Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my


Muar: Tujuh kakitangan syarikat keselamatan SRT-EON cawangan Batu Pahat yang berpakat berhubung kes kecurian wang kutipan pelanggan sebanyak RM309,706 ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, dua daripada suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Batu Pahat menaiki van selepas selesai mengutip wang dari pengurup wang.

"Bagaimanapun, kenderaan itu dilaporkan terbabas ketika tiba di tempat kejadian dan seorang daripada suspek membuat laporan polis kononnya wang itu disamun.

"Bertindak atas laporan itu, kami menjalankan siasatan dan meneliti laporan sebelum mendapati keadaan mencurigakan kerana terdapat unsur penipuan dan percanggahan maklumat.

"Siasatan lanjut membawa kepada tangkapan tujuh suspek berusia 27 hingga 59 tahun termasuk pengurus cawangan syarikat yang mengakui kejadian itu adalah rancangan mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, polis menemui semula wang tunai berjumlah RM309,706 yang disembunyikan di pejabat syarikat berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 5:20 PM