Gambar fail ketika Allahyarham bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media kemenangan Pilihan Raya Sarawak ke-11 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Kuching pada 7 Mei 2016.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keluarga Tan Sri Adenan Satem bersabar dengan pemergian Allahyarham tengah hari tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang tiada galang gantinya.

“Bagi pihak saya, keluarga dan rakan-rakan mengucapkan takziah dan marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada roh Allahyarham,” katanya yang kini dalam lawatan ke China.

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan jam 1.30 tengah hari tadi akibat komplikasi jantung.

Beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.

Adenan membantu Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 5:28 PM