SPRM mencari peniaga kedai runcit dikenali sebagai Norshah. FOTO Ihsan SPRM
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang mengesan seorang lelaki berusia 43 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai SPRM pada Oktober 2015.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusoff berkata, lelaki berkenaan melakukan kesalahan memalsukan dokumen iaitu surat pelepasan penjara terhadap kes rasuah pasangan suami isteri.

Katanya, surat palsu berkenaan menggunakan logo dan alamat palsu SPRM yang kononnya bayaran sebanyak RM300,000 dikenakan kepada suami isteri itu terhadap kesalahan yang dilakukan mereka.

"Lelaki itu yang juga peniaga kedai runcit dikenali sebagai Norshah beralamat di Taman Makmur Kok Lanas dan Kampung Padang Lembek, Ketereh boleh disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat SPRM, Chaiyuth Fun Pon di talian 0124154845 atau SPRM Kelantan 097661800," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 5:31 PM