Anggota Bomba membersihkan tumpahan merkuri di atas makmal lantai sekolah berkenaan.Gambar ihsan bomba
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Taiping: Pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Sajak, di sini, terpaksa mengosongkan makmal sekolah berkenaan selepas balang termometer berisi cecair merkuri pecah, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, Penolong Penguasa Bomba Mohd Taufiq Abd Ghafttar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu pada jam 9.44 pagi.

Katanya, setibanya anggota bertugas di lokasi mendapati, makmal sains berkenaan sudah dikosongkan oleh pihak sekolah.

"Bomba kemudian menggunakan sulfur dan peluntur untuk membersihkan merkuri yang tumpah di atas lantai.

"Makmal berkenaan terpaksa dikosongkan selama 24 jam bagi memastikan kesan merkuri itu hilang sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.

Mohd Taufiq berkata, sisa merkuri yang dikumpul diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar sejam selepas operasi tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 6:05 PM