Elizad terima hadiah jam tangan sempena ulangtahun perkahwinan. FOTO HM HALIMATON SAADIAH
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon Siti Elizad menerima jam tangan bernilai RM10,000 daripada suaminya Shamsul Baharin Rahman, 44, sempena ulang tahun kedua perkahwinan mereka, hari ini.

Elizad, 33, berkata, hadiah itu sesuatu yang istimewa apatah lagi dia memang menggemari jam tangan.

"Suami memang tahu saya suka jam tangan, jadi sempena ulang tahun kedua perkahwinan ini pun dia hadiahkan jam seperti tahun lalu.

"Berkenaan nilai jam tangan ini saya tak pernah nak ambil tahu pun, malah saya tak pernah meminta daripada suami. Saya percaya hadiah yang diberikan ikhlas daripada hatinya bersempena hari istimewa kami," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, Elizad yang juga penyanyi lagu Haiyaya terpaksa melupakan hasrat pergi bercuti di Maldives kerana terikat dengan penggambaran drama 80 episod berjudul Papa Ricky.

Ditanya mengenai cahaya mata pula, Elizad menafikan dakwaan mengatakan dia sengaja tidak mahu anak.

"Siapa kata saya tak nak anak? Saya pelik apabila timbul dakwaan itu terutama dalam kalangan pengguna laman sosial. Semua orang yang berkahwin pasti inginkan anak, begitu juga saya dan suami. Cuma dalam kes saya, belum ada rezeki lagi.

"Dalam soal ini saya dan suami sentiasa berusaha tapi ini adalah kuasa Allah. Lambat atau cepat saya reda. Apa yang penting jangan putus berdoa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 6:17 PM