Anggota polis membantu pasangan warga Thailand yang kehabisan petrol. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Jitra: Sepasang warga Thailand yang terpaksa menolak motosikal akibat kehabisan petrol di Jalan Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, mendapat bantuan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Koperal Azhari Hassan, Sarjan Nizar Abdul Razak serta Lans Koperal Azuan Amir yang sedang membuat rondaan terserempak dengan pasangan berusia 50-an itu.

Azhari berkata, simpati dengan pasangan itu, mereka membeli petrol di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira dua kilometer.

"Kami bertanya sama ada motosikal mereka menghadapi masalah sebelum diberitahu kehabisan minyak.

"Kami kemudian membeli dan mengisi petrol dalam dua botol mineral untuk diserahkan pada pasangan itu kerana kasihan melihat mereka menolak motosikal," katanya.

Katanya, pasangan yang datang dari arah Bukit Tangga itu kemudian meneruskan perjalanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 6:29 PM