Antara pelajar yang mengalami keracunan makanan dibawa ke Hospital Melaka. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my


Melaka: Seorang guru wanita dan 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan nasi goreng di kantin sekolah berkenaan.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa yang mengadu sakit perut, selain cirit-birit dan muntah, dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Md Yunos Husin berkata, selepas pemeriksaan, 10 pelajar dan seorang guru wanita dibenarkan pulang pada 3.30 petang.

"Sembilan lagi pelajar sedang menerima rawatan iaitu tujuh di Hospital Melaka manakala dua lagi di sebuah pusat perubatan swasta.

“Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengarahkan kantin sekolah ditutup seminggu untuk pemeriksaan," katanya ketika melawat mangsa di Hospital Melaka.

Menurut Yunos, pihaknya memandang serius perkara itu dan jika didapati cuai, pengusaha kantin terbabit akan dikenakan tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:20 PM