Antara PATI yang diperiksa di tapak pembinaan di Kuala Nerus. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Nerus: Jabatan Imigresen Terengganu menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Op Ikrar (Sapu) di dua tapak pembinaan, di sini, petang tadi.

Operasi bermula dari 2 hingga 5 petang itu membabitkan seramai 22 pegawai dan anggota jabatan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kehadiran PATI.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Terengganu Mohd Muda berkata, PATI yang ditahan membabitkan 22 warga Indonesia manakala tujuh lagi Myanmar.

"Mereka berusia antara 18 hingga 52 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1957/63 kerana tidak memiliki dokumen yang sah dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna permit," katanya ketika ditemui selepas operasi.

Menurutnya, semua PATI dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:40 PM