Van suspek culik yang terbabas (Foto FB) dan dua suspek culik dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini. - INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
BERNAMA

Sungai Buloh: Dua lelaki yang menculik wanita - anak pemilik kilang langsir - untuk mendapatkan wang tebusan bagi melangsaikan hutang along ditahan di Batu 15, Sungai Pelong di Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, wanita berusia 28 tahun, pengurus kilang langsir di Sierramas itu diculik di depan sebuah sekolah antarabangsa di Sierramas ketika dalam perjalanan pulang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, mangsa yang sedang memandu kereta jenis BMW bersama pembantu rumahnya tiba-tiba ditahan dua lelaki menaiki sebuah van putih yang sebelum itu mengekori mereka.

"Selepas suspek, warga tempatan berusia 20-an itu menarik mangsa keluar, pembantu rumahnya ditinggalkan bersendirian dalam kereta dan suspek segera membawa wanita itu menghala ke Jalan Kuala Selangor.

"Orang awam yang melihat kejadian itu mengejar van putih berkenaan. Mangsa kemudian ditinggalkan di selekoh sebuah pasar raya di Sungai Buloh," kata Abdul Aziz pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini.

Menurut Abdul Aziz, selepas meninggalkan mangsa yang hanya cedera ringan di dahi dan lengan, van suspek memecut ke arah Sungai Pelong, namun terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, menyebabkan van itu terbakar.

"Orang awam yang mengejar suspek membelasah mereka di tempat kejadian dan kedua-dua mereka kemudian diberkas polis," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati motif penculikan itu kerana suspek kalah judi dan mahu melangsaikan hutang along dengan menculik anak pemilik kilang langsir berkenaan.

Katanya suspek sudah melakukan pemerhatian selama sebulan sebelum menculik wanita itu untuk dijadikan tebusan.

"Polis turut merampas sebilah parang dan pisau, wang tunai lebih RM2,000, segulung tali dipercayai untuk mengikat mangsa, nota ugutan culik dan sebuah beg.

"Van yang digunakan suspek adalah kenderaan curi menggunakan nombor plat pendaftaran palsu," katanya.

Menurut Abdul Aziz, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin, disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 9:58 PM