Ismail Sabri bersalam dan beramah mesra dengan wakil IPTA semasa majlis Makan Malam Retreat Khas JPB 2017 dan turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera di Hotel di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 yang akan bermula 11 Mac depan menyasarkan kira-kira 50,000 lepasan sekolah dalam kalangan miskin dan luar bandar dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jelajah berkenaan akan diadakan di 56 parlimen di seluruh negara serta berusaha untuk mendekati seramai 200,000 pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar.

Menurutnya, tawaran melanjutkan pengajian kepada pelajar yang memenuhi syarat ditetapkan akan diberikan secara serta-merta.

"Jelajah ini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar Bumiputera yang miskin serta kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sekali gus mengubah masa depan dengan pendidikan.

"Pelajar ini mungkin agak sukar (melanjutkan pengajian) menerusi saluran biasa namun, dengan jelajah ini kita dapat bertemu secara terus dengan mereka serta memberikan tawaran," katanya berucap pada majlis makan malam Pemukiman Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar serta Naib Canselor universiti awam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Mentor Jelajah Pendidikan Bumiputera berbangga, program jelajah itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk universiti awam dan swasta serta institusi Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:26 PM