Spa hotel yang diserbu petang tadi. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh : Polis menyelamatkan enam wanita tempatan dipercayai dipaksa menjadi pelacur di sebuah spa hotel di Jalan Raja Dihilir, di sini jam 3.15 petang tadi.

Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu berjaya menyelamatkan enam wanita berusia 20 hingga 40 tahun.

Ketua JSJ negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, kesemua wanita itu dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai pelacur.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut menahan dua wanita tempatan berusia 54 dan 24 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Hasil serbuan itu, polis merampas beberapa barang termasuk 292 keping kondom, 10 telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,859 danpelincir serta kertas jadual kerja dan pembayaran wang dipercayai digunakan dalam kegiatan pelacuran itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikuk Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:13 AM