Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Pak cik tak fikir untung sangat yang penting mereka ikhlas dan baca buku itu,” kata warga emas yang mahu dikenali sebagai Ali, 66.

Kisah Ali menjual buku agama termasuk panduan solat dan himpunan doa berhampiran Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS), di sini, menjadi tular selepas seorang lelaki memuat naik ke dalam akaun Facebook miliknya.

Menerusi status berkenaan, lelaki terbabit tersentuh apabila harga buku yang dibeli hanya perlu dibayar dengan seikhlas hati.

Bercerita mengenai kisah terbabit, Ali berkata, menjadi rutin hariannya ke terminal berkenaan untuk menjual buku agama, dari 6 petang hingga 9 malam.

Menurutnya, setiap hari juga lebih 40 hingga 50 buku dibawa untuk dijual di sekitar kawasan berkenaan.

“Pak cik guna modal sendiri beli buku dan kebanyakan buku adalah buku agama termasuk panduan solat bagi perempuan dan lelaki.

“Kalau soal harga memang tak tentu. Pak cik jual dari serendah RM1 hingga RM10. Terpulang pada mereka nak beli berapa, janji ikhlas. Sambil cari rezeki, memang pak cik niat untuk berdakwah,” katanya yang sudah menjalankan peniagaan terbabit lebih dua tahun.

Ditanya mengenai gambarnya yang menjadi tular, Ali berkata, ia banyak membantu jualan buku berkenaan.

“Patutlah ramai singgah beli buku pak cik. Kalau selalunya antara 10 buku saja terjual, namun minggu ini jumlahnya lebih daripada itu. Pak cik anggap ini sebagai rezeki,” katanya yang tinggal bersama anak saudara lelakinya di Kampung Baru, di sini.

Ketika ditanya berhubung pandangan sesetengah orang ramai yang menganggapnya sebagai peminta sedekah, Ali berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenai perkara berkenaan sebaliknya teguh dengan pendiriannya dalam mencari rezeki halal.

“Pakcik tak kisah pun orang nak kata apa sebab pakcik dah tua. Ini saja yang termampu pakcik buat untuk cari duit,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 1:48 AM
Pakcik Ali jual buku agama dengan harga seikhlas hati. FOTO Apiet