ANTARA wang tunai dan barangan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menahan 26 individu termasuk tiga wanita dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen menerusi operasi di sekitar Johor, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi terbabit dilakukan dengan kerjasama JSJK Perak dan JSJK Johor bermula 10 malam dan berakhir pada 4 pagi.

"Menerusi operasi ini polis menahan 23 lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 51 tahun termasuk seorang warga Vietnam .

"Barangan milik kesemua suspek dianggarkan bernilai RM2,048,050 turut disita membabitkan wang tunai berjumlah RM416,050, 21 kenderaan pelbagai model dan beg tangan berjenama.

"Selain itu,polis turut merampas 12 unit komputer, 52 telefon bimbit, 8 kad bank, 17 buku bank, 6 buku cek, kertas iklan pinjaman wang, 9 parang dan 9 pedang samurai," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati sindiket bergiat aktif di sekitar Johor sejak dua tahun lalu dan turut mendalangi kegiatan kumpulan samseng serta kongsi gelap.

Jelasnya, kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 9:27 AM