ORANG ramai mula hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Kuching. FOTO Aizuddin Saad
ORANG ramai hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Kuching. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuching: Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat terus hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di kediamannya di Damai Jaya, Santubong, dekat sini.

Mereka hadir sejak awal pagi lagi.

Pasukan pengusung terdiri daripada pegawai serta anggota polis dan tentera sedang membuat persiapan untuk membawa jenazah dari kediaman itu ke Masjid Jamek Sarawak di Petra Jaya, di sini, hari ini.

Orang ramai dan orang kenamaan masih boleh terus memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid tersebut mulai 10.30 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dikebumikan selepas Zohor.

Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Kota Samarahan, dekat sini, 1.20 tengah hari semalam.

Sementara itu, beberapa ribu orang daripada pelbagai golongan sudah berhimpun di masjid negeri di sini untuk memberikan penghormatan terakhir mereka kepada Allahyarham Adenan.

Mereka terdiri daripada pemimpin korporat, ketua masyarakat dan wakil daripada persatuan dan badan bukan kerajaan, penjawat awam serta orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 10:47 AM