GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut apabila bot dikemudinya hilang kawalan di perairan Tanjung Piai, Pontian, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Maslan Samedi, 51, dalam perjalanan mengambil pekerja pulau buatan di jeti nelayan Pangkalan Perpat Pungur pada 3.40 petang.

"APMM terima laporan mengenai panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang pengadu yang dipercayai pengurus pulau buatan.

"Dalam laporannya, dia memaklumkan tekong bot yang membawa pekerja pulau buatan dipercayai terjatuh ke laut selepas bot dikemudi hilang kawalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, saksi kejadian turut melaporkan melihat bot itu berpusing-pusing sebelum mangsa terjatuh ke laut.

Menurutnya, mangsa bekerja di pangkalan itu namun membuat kerja sampingan dengan menghantar pekerja pulau buatan itu ke satu kawasan tambakan berhampiran Tanjung Piai.

Mengulas lanjut, bot itu hilang kawalan kerana mangsa dipercayai kurang sihat manakala cuaca dan ombak pula baik.

Berikutan itu APMM melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan tempatan.

Pada masa sama APMM menasihati orang ramai terutama komuniti marin supaya menggunakan jaket keselamatan dan lebih berhati-hati apabila turun ke laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 11:07 AM