Kamsani Sanadi, 73, yang hilang meninggal dunia Hospital Sultan Ismail (HSI) pagi tadi.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pesara tentera, Kamsani Sanadi, 73, yang hilang sejak 8 Januari lalu dari kediaman keluarga di Pasir Gudang didapati dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak beberapa hari lalu dan meninggal dunia akibat sesak nafas pada 9.56 pagi tadi.

Anak keempat Kamsani, Siti Nor Esah Kamsani, 18, berkata keluarganya menerima panggilan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) petang semalam memaklumkan bapanya menerima rawatan di HSI.

Menurutnya, difahamkan bapanya yang menghilangkan diri sejak Ahad lalu diselamatkan anggota polis di kawasan sekitar Larkin dan dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK).

"Bapa dikatakan rebah di RSK dan dimasukkan ke HSI semalam.

"Ketika kami ke HSI malam tadi, dia dalam keadaan koma dan kami tidak sangka dia meninggalkan kami selama-lamanya pagi hari ini.

"Jenazah arwah akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gudang sebelum solat Zohor dan kami berharap semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 11:52 AM