KERETA dipandu anggota polis bersama bapanya rosak teruk selepas kemalangan di Batu 19, Jalan Keningau-Sook. FOTO Francis Andin
Junaidi Ladjana

Keningau: Anggota polis dan bapanya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat rodadi Batu 19 Jalan Keningau-Sook dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, Koperal Muhammad Firdaus Jaimun, 34, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bapanya, Jaimun Kunon, 70, meninggal dunia di Hospital Keningau, 6.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, kereta dipandu anggota polis bersama bapanya yang duduk di hadapan dalam perjalanan dari arah Keningau ke Nabawan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian selepas melalui satu selekoh berlaku pertembungan antara kereta mangsa dengan pacuan empat roda.

"Akibat kejadian itu, pemandu kereta tersepit dan meninggal di lokasi kejadian manakala bapanya yang parah dikejarkan ke Hospital Keningau sebelum disahkan meninggal dunia 6.50 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengelak pasti punca kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:07 PM