Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen dan memeras ugut wang tunai RM2,000 terhadap pemilik sebuah syarikat memiliki pekerja warga asing ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sebuah pasar raya, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, suspek berusia 52 tahun berasal dari Perak bertemu dengan pemilik syarikat itu berusia 27 tahun di pekarangan pasar raya berkenaan untuk mengambil wang.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kegiatan rasuah itu terus menahan lelaki terbabit sejurus dia menerima wang itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol tiruan bersama suspek dan dia kemudian di bawa ke Pejabat SPRM Kedah untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek pagi tadi dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan Penolong Pendaftar Mahkamah Jamaludin Elias membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:12 PM
Suspek dibawa ke Pejabat SPRM Kedah untuk siasatan lanjut. FOTO Shahrul Hafiz Zam