SPRM) Kedah dedahkan terdapat penjawat awam di Kedah bercuti hasil tajaan oleh individu berkepentingan.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mendedahkan terdapat penjawat awam di negeri ini yang bercuti hasil tajaan oleh individu yang mempunyai kepentingan dengan jabatan kerajaan terbabit sehingga menjurus kepada rasuah.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, perkara itu seperti menjadi fenomena bagi mereka (penjawat awam) untuk bercuti sama ada bersendirian, bersama kakitangan bawahannya atau bersama keluarga menggunakan tajaan individu terbabit yang boleh menjurus kepada rasuah.

Menurutnya, sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad turut membangkitkan kecenderungan penjawat awam yang bermain golf, ada teman wanita, perempuan simpanan dan sebagainya yang menjurus ke arah rasuah.

"Kita tidak maksudkan tidak boleh bermain golf atau sebagainya namun elakkan jika ia membabitkan individu yang berkepentingan untuk berlakunya rasuah.

"Hal ini perlu dilihat secara serius di mana ketua-ketua jabatan masing-masing juga perlu memantau perkara ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, tadi.

Mohd Fauzi berkata, tahun lalu sahaja SPRM Kedah menahan seramai 76 individu yang terbabit dalam gejala rasuah di mana 53 individu adalah penjawat awam.

"Kita membuka kertas siasatan sebanyak 46 kes membabitkan 50 orang terdiri penjawat awam," katanya.

FOTO Shahrul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:23 PM