Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah Melaka Tengah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM150,000 dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Bandar Hilir, di sini, pada Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.15 pagi itu, seorang lelaki berusia 26 tahun berada dalam keadaan khayal turut ditahan.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata, tangkapan dibuat hasil risikan dan maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, kita menemui 89 keping bekas timah warna merah dan perak berisi 10 pil disyaki dadah erimin 5, 57 pek plastik lut sinar berisi bahan disyaki ketamin seberat 104.21 gram dan 24 pek warna merah jambu berisi bahan disyaki dadah seberat 255.60g.

"Selain itu, kita juga merampas 17 pek warna keemasan disyaki mengandungi ketamin seberat 62.90g, empat pek plastik lutsinar mengandungi 255 pil pelbagai warna disyaki ekstasi (82.35g) dan 23 botol minuman disyaki mengandungi ketamin serta 30 batang pokok tertulis Dark Horse mengandungi bahan disyaki ketamin," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan Nissan Murano milik suspek direman tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:31 PM
ANTARA dadah dirampas dalam serbuan di sebuah apartmen di Bandar Hilir, Melaka, Selasa lalu.FOTO Rasul Azli Samad