Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


Kulai: Polis melumpuhkan satu sindiket 'Ah Long' dengan menahan 26 individu membabitkan nilai tampasan melebihi RM2.3 juta dalam beberapa serbuan serentak, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, tangkapan itu hasil kerjasama Polis Johor, Polis Perak dan Bukit Aman.

Katanya, semua 26 tangkapan berusia antara 17 hingga 51 tahun itu membabitkan 25 warga tempatan iaitu 23 lelaki dan dua wanita manakala baki seorang wanita warga Vietnam .

"Serbuan dilakukan serentak di beberapa kawasan sekitar Kulai; Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur dan kami turut merampas 21 kereta mewah bernilai RM1.48 juta.

"Selain itu, kami merampas wang tunai berjumlah lebih RM300,000 dipercayai hasil pinjaman haram yang dijalankan.

"Hasil serbuan, kami turut merampas pelbagai beg tangan berjenama bernilai RM150,000 dipercayai dirampas daripada mangsa yang gagal menjelaskan bayaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 3 Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:45 PM
MOHD Zakaria (kiri ) menunjukkan barang yang dirampas. FOTO Zain Ahmed