Pihak polis membakar dadah yang dirampas di pusat pembakaran. Foto Ihsan PDRM
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


Kuala Kubu Bharu: Sejumlah 545 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4.5 juta dilupuskan polis di satu kawasan pembakaran di Sungai Choh, Rawang pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Superintendan R Sundarlingam berkata, dadah dilupuskan itu terdiri daripada jenis ganja, syabu, morfin dan ketamin.

Beliau berkata, pelupusan itu hasil rampasan dilakukan polis di seluruh Selangor bagi fasa pertama iaitu dari 1997 hingga 2014.

Beliau berkata, semua dadah yang dilupuskan itu sudah selesai proses perbicaraan di mahkamah.

"Barang kes ini adalah hasil rampasan dari seluruh daerah di Selangor sejak 20 tahun lalu.

"Kes penyalahgunaan dadah ini turut membabitkan golongan pelajar dan jumlahnya semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk sekolah bagi membendung kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 2:26 PM