Mohamed Apandi berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara 2017. FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Jabatan Peguam Negara tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengamal undang-undang yang didapati terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang hanya akan mencemarkan imej serta integriti jabatan itu.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan membabitkan integriti dalam bentuk apa sekalipun.

"Sesungguhnya penularan gejala rasuah dalam masyarakat lebih dahsyat kesannya daripada penularan penyakit. Jika wabak penyakit dapat disembuhkan dengan vaksin tetapi rasuah hanya dapat diubati dengan keinsafan hati dan diri sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara 2017, di sini, pagi tadi.

Mohamed Apandi berkata, rasuah boleh bermula dengan bermain golf atau melancong dengan semua perbelanjaan ditanggung sebelum pemberian wang secara terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 2:29 PM