Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Sungai Siput: Seorang pesara tentera antara lapan suspek yang ditangkap polis kerana dipercayai memproses air ketum di Kampung Talang Tengah, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan A Pamnaswaran berkata, serbuan dilakukan Bahagia Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput berikutan menerima aduan awam membabitkan kegiatan dijalankan suspek.

Katanya, ketika serbuan, lapan suspek berusia antara 23 hingga 52 tahun dipercayai sedang memproses air ketum di pondok berhampiran sebuah rumah.

"Seorang daripada suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu penagihan dadah.

"Ujian air kencing mendapati tiga daripada lapan suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam sidang media di IPD Sungai Siput, di sini, hari ini.

Pamnaswaran berkata, sebanyak 380 bungkusan disyaki air ketum bernilai RM950 dan alatan memproses air ketum dirampas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 2:39 PM
Pamnaswaran (tengah) menunjukkan bungkusan air ketum dan ubat batuk yang dirampas. FOTO L Manimaran