Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Mayat seorang lelaki ditemui dalam longkang di kawasan tapak pembinaan di Bukit Dumbar, Jelutong, di sini, hari ini.

Mayat Asyraf Amzah, 23, ditemui orang awam dalam longkang sedalam kira-kira 4 meter jam 3 petang sebelum dia menghubungi polis.

Sabtu lalu, rakannya membuat laporan polis selepas dia serta ahli keluarga arwah gagal

mengesan Asyraf selepas mereka pulang dari sebuah restoran nasi kandar kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri terbabas dan jatuh ke dalam longkang berkenaan.

Menurutnya, setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan mayat sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

"Kita turut menemui motosikal mangsa yang mengalami kerosakan di bahagian hadapan tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Foto Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 4:46 PM