Mohd Sani menyampaikan sumbangan pakaian dan makanan kepada Hamidah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Lembaga Zakat Kedah (LZK) sedang memproses permohonan bantuan kecemasan RM1,000 kepada keluarga nelayan yang ditemui lemas di Pulau Songsong dekat Yan, semalam.

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat LZK, Mohd Sani Harun berkata, pihaknya sudah mengambil butir peribadi isteri nelayan terbabit, Hamidah Zakaria, 26, serta anaknya untuk memudahkan proses dipercepatkan.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan bantuan itu selewat-lewatnya minggu depan dan mempertimbangkan untuk memberi bantuan miskin bulanan.

"Kita akan tengok semula. Jika dia tinggal seorang diri dan tidak bekerja berkemungkinan kita akan bagi bantuan itu disebabkan dia sudah hilang tempat bergantung selepas suami, Shukri Abd Rashid, 30, meninggal dunia akibat lemas.

"Namun hari ini kita beri mereka sumbangan makanan, pakaian sekolah serta makanan untuk kegunaan harian mereka.

"Kita berharap ahli keluarga lain dapat memberi motivasi kepada mereka untuk meneruskan hidup memandangkan Hamidah sedang berpantang selepas melahirkan anak ketiga Ahad lalu," katanya ketika melawat keluarga itu hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, Shukri dikatakan terjatuh dari bot ketika sedang mencandat sotong seorang diri di sekitar perairan Kuala Kedah dan mayatnya ditemui terapung berhampiran Pulau Songsong, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 5:29 PM