Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Sungai Siput: Anggota polis yang parah selepas dipercayai tertembak peha sendiri dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini, Ahad lalu, dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintendan A Pamnaswaran berkata, Koperal Murli Farzizi Zakaria, 34, masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, keterangan anggota yang bertugas di unit kereta peronda (MPV) itu belum diambil berdasarkan keadaannya.

"Kita akan ambil rakaman percakapan sekiranya keadaannya benar-benar sesuai bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Terdapat beberapa faktor yang boleh menjurus kepada kejadian itu seperti kelemahan pistol itu sendiri atau kecuaian anggota yang tidak mengunci takuk keselamatan senjata api itu. Bagaimanapun siasatan masih dijalankan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa tidak sedarkan diri sebaik kejadian berlaku.

Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan teruk akibat cedera pada peha, betis kiri dan patah jari telunjuk kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 5:46 PM