PENERBANGAN Malam.
RENTAK Bertingkah.
MENYUSUR Menyentuh.
KARYA berjudul Gumpalan Keinginan.
KARYA Berkocak Melibas dengan ukuran 144.5 x 228.5 sentimeter.
BAYU Utomo ketika perasmian Gejolak.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Dilahirkan pada tahun 1969 di Tawau, Sabah, nama Bayu Utomo Radjikin tidak asing lagi dalam dunia seni kontemporari negara.

Memenangi pelbagai anugerah dan penghargaan di sepanjang kerjaya seninya, beliau tidak pernah jemu menghasilkan karya abstrak yang menyentuh budaya masyarakat serta kisah manusia.

Karya lukisan beliau sering berkaitan dengan emosi manusia, sisipan anggota badan atau wajah yang mewakili 1,000 kata menerusi strok berus dan teknik melukis.

Menerusi aura sedemikian, Bayu tampil dengan pameran Gejolak yang kini berlangsung di Galeri G13 di Kelana Jaya, Selangor.

Sebanyak 17 karya memaparkan pertembungan jiwa manusia yang memiliki pelbagai kecelaruan perasaan berjaya diungkapkan secara abstrak ke atas kanvas.

“Tidak semua orang mampu meluahkan kesedihan, kegembiraan, kemusykilan dan tidak puas hati yang berada dalam jiwa mereka menerusi kata-kata.

“Paling tidak pun, ia dinyatakan menerusi tulisan namun bukan semua orang mampu meluahkannya. Namun, ia lebih senang diungkapkan di atas kanvas bagi mewakili jiwa seseorang.

“Idea untuk menghasilkan Gejolak sudah lama timbul dan ia berjaya disiapkan selama tiga bulan sebelum memasuki tahun 2017,” ujar Bayu.

Beliau menghasilkan semua karya menggunakan medium akrilik di atas kanvas dengan saiz terbesar berukuran 144.5 x 228.5 sentimeter.

Hingga kini, sembilan karya sudah pun terjual dan harga karya beliau bermula dari RM13,000 dan ke atas.

INFO

GEJOLAK

• ARTIS: Bayu Utomo Radjikin

• JUMLAH KARYA: 17

• LOKASI: Galeri G13, GL13, Ground Floor, Block B, Kelana Square, Jalan SS7/26, 47301 Kelana Jaya, Selangor

• TARIKH: 7 Januari hingga 21 Januari 2017

• MASA: 11 pagi hingga 5 petang

• TELEFON: 03-7880 0991

• WEB: www.g13gallery.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:03 AM