KAPAL korek pasir berhampiran Tanjung Kling yang dirakam pada waktu senja.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Kerajaan negeri akan melakukan siasatan segera bagi memastikan aktiviti mengorek pasir di perairan Selat Melaka berhampiran Tanjung Kling, di sini, dilakukan mengikut peraturan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, ia berikutan dakwaan berlaku aktiviti curi pasir hingga menyebabkan perairan Tanjung Kling tercemar dan menjejaskan nelayan.

“Siasatan bakal dilakukan akan membabitkan semua pihak berkuasa termasuk pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri.

“Kepada nelayan khususnya di Tanjung Kling yang didakwa terjejas akibat aktiviti mengorek pasir, saya minta mereka bersabar hingga sebarang keputusan diambil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan negeri berjumpa persatuan nelayan bagi mendapatkan kepastian sama ada aktiviti mengorek pasir yang dilakukan sekarang menjadi punca pendapatan nelayan terjejas.

“Selain kerjasama LKIM dan Jabatan Perikanan, saya sendiri akan turun padang dalam tempoh terdekat bagi menilai kemerosotan tangkapan dialami nelayan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan Negeri Melaka) Azree Abidin berkata, pihaknya tidak terbabit dalam urusan permohonan atau kelulusan bagi mendapatkan konsesi mengorek pasir kerana ia diuruskan ibu pejabat di Putrajaya.

Menurutnya, sebarang ulasan berhubung perkara itu juga perlu dilakukan atau dirujuk terus kepada pegawai berkenaan yang bertugas di ibu pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:48 AM