Gambar yang tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Bagan Datuk: Kerajaan negeri akan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat dakwaan bangkai ayam dijual kepada beberapa restoran di negeri ini yang tular di media sosial.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, siasatan rapi akan dijalankan terlebih dulu sebelum sebarang kenyataan boleh dibuat.

Katanya, isu berkenaan tidak boleh dipandang mudah sekiranya ia benar berlaku kerana membabitkan makanan serta sensitiviti masyarakat.

"Sebelum apa-apa kenyataan dikeluarkan, kita perlu memastikan perkara itu berlaku terlebih dulu dan tindakan seterusnya akan diambil," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mini Karnival Teras Keselamatan anjuran bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (STAR) sempena Pemukiman Menteri Besar Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar bangkai ayam yang dijual semula kepada restoran yang tersebar laman sosial sejak beberapa hari lalu namun tidak dinyatakan lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 7:29 PM