TENTERA Filipina yang terbabit dalam serangan ke atas kumpulan militan di selatan negara itu. - Agensi
AP

Manila: Seorang suspek militan Indonesia ditembak mati sementara seorang suspek pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara dipercayai cedera parah selepas mereka terkena serangan udara yang dilancarkan tentera Filipina di selatan negara itu.

Ketua Turus tentera Filipina, Jeneral Eduardo Ano berkata, mayat suspek Indonesia itu yang dikenali sebagai Mohisen ditemui anggota tentera bersama tiga mayat militan tempatan.

Ketua kumpulan militan berkenaan, Isnilon Hapilon dipercayai cedera dalam serangan yang menyasarkan kubu mereka di kawasan berbukit di pinggir bandar Butig di Lanao del Sur, selatan negara itu.

Bercakap dalam wawancara menerusi telefon dengan Associated Press, Ano berkata, Isnilon cedera di lengan dan kehilangan banyak darah selepas pesawat tentera udara Filipina, termasuk jet pejuang FA50 buatan Korea Selatan, menggugurkan bom 225 kilogram pada Rabu dan Khamis lalu, menyasarkan kubu kumpulannya.

Ia kali pertama jet FA50 yang dibeli pada akhir 2015 digunakan dalam misi tempur.

Menurut Ano, Isnilon yang dilapor dilantik untuk mengetuai cabang Daish di Asia Tenggara, terpaksa diusung oleh pengikutnya menggunakan pengusung buatan sendiri dan dipercayai tidak mempunyai peluang untuk melarikan diri dari Lanao memandangkan tentera sudah mengepung semua jalan keluar.

Dia juga berkata, tentera Filipina akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia untuk mengesahkan identiti dan latar belakang Mohisen.

Isnilon yang berada adalam senarai pengganas paling dikehendaki Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dengan hadiah sebanyak AS$5 juta (RM22 juta) untuk menangkapnya, berpindah ke Butig dari kubunya di Pulau Basilan sebulan lalu bersama-sama 30 pengikutnya untuk mencari pangkalan bagi pakatan militan barunya.

Daish dikatakan mahu dia mendirikan pangkalan di Lanao kerana ia dikatakan lebih selamat berbanding di Basilan.

Isnilon yang fasih berbahasa Arab berikrar taat setia kepada Daish pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 6:30 AM