KEMBARA Seniman Jalanan
NASIR (kiri) bersama Pyanhabib (tengah) dan Khir Rahman.
KSJ beri inspirasi kepada Mamat untuk hasilkan trilogi filem Rock.
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


Tayangan filem era 1980-an iaitu Kembara Seniman Jalanan (KSJ) di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak oleh pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, baru-baru ini menggamit nostalgia era kegemilangan muzik rock ketika itu.

Filem yang ditayangkan pada 1986 itu diarahkan pengarah kontroversi Nasir Jani serta menampilkan lakonan Datuk M Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim, Pyanhabib, Imuda, dR Sam dan Neeruam.

Filem yang mengangkat budaya dan muzik rock ketika itu turut menampilkan band terkenal seperti Sweet Charity, Blues Gang, Kembara dan Search.

Mamat berkata, KSJ adalah filem pertama yang mengangkat budaya dan muzik rock tempatan selain mengetengahkan isu cetak rompak.

“Walaupun sudah lebih 30 tahun, tetapi KSJ diingati peminat filem tempatan terutama yang membesar ketika era kegemilangan muzik rock ketika itu.

“Saya akui KSJ juga menjadi inspirasi saya menghasilkan filem Rock, Rock Oo! dan Rock Bro,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, pengarah dan pelakon KSJ iaitu Nasir Jani dan Pyanhabib.

Nasir ketika ditemui berkata, selain mengetengahkan isu cetak rompak, KSJ juga filem Melayu pertama menampilkan aktiviti ‘busking’.

“Dulu dalam filem tak ada ‘busking’. Orang yang buat aktiviti ‘busking’ pun tidak ada lagi ketika itu seperti sekarang.

“KSJ juga filem pertama yang mengangkat muzik rock sebagai temanya dan juga yang pertama menampilkan babak konsert berskala besar. Ia juga menjadi titik tolak dalam ‘pop culture’ (budaya popular) di sini ketika itu,” katanya.

Nasir berkata, KSJ juga boleh dianggap sebagai ‘bapa kemodenan’ filem Melayu kerana apa yang ditampilkan sangat berbeza berbanding filem Melayu sebelum itu.

Sementara itu, Pyanhabib berkata, KSJ adalah filem dalam kalangan ‘budak-budak kutu’ yang berusia 30 tahun ke bawah.

“Ketika berlakon filem itu, saya berusia 27 tahun dan watak saya sebagai Osman Tikus itu adalah diri saya sendiri. Kebetulan kebanyakan yang berlakon ketika itu dalam kalangan rakan yang berlakon teater.

“Ketika ditawarkan berlakon filem itu, saya tak tahu apa-apa pun. Tiba di lokasi, Nasir cuma bagi skrip dan jalan ceritanya pun saya tak tahu.

“Kebanyakan dialognya saya belasah sendiri, tetapi masih berpandukan kepada skrip,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tayangan filem itu, pelakon seperti Khir Rahman, Pekin Ibrahim dan pengarah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 peminat filem tanah air termasuk 25 pelajar Bengkel Asas Lakonan dari Melissa House Ventures.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 10:50 AM