MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book Of Record (MBOR) oleh wakil MBOR, Norasyikin Ramli (dua dari kiri) kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18, Salmiah Hashim (kanan) atas penyertaan peserta kanak-kanak teramai dalam pertandingan catur di Festival Catur Putrajaya 2017 Pecah Rekod Malaysia Book Of Record (MBOR) di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Festival Catur Putrajaya 2017 anjuran Sekolah Kebangsaan Putrajaya (SKP)Presint 18 (1) berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR)bagi Pertandingan Catur dengan Penyertaan Kanak-kanak Teramai di Malaysia iaitu seramai 1,224 peserta.

Sijil pengiktirafan diserahkan wakil MBOR, Norashikin Ramli kepada Guru Besar SKP Presint 18 (1) Salmiah Hashim sambil disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Festival pertama kali diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan disertai 1,224 peserta berumur bawah 15 tahun.

Lebih menarik, ia turut disertai lima pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan yang menggunakan papan catur Braille.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu kategori Terbuka, Bawah 18 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 12 Tahun dan Bawah 9 Tahun.

Penganjuran festival ini turut mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj); Ab Chess Resources; Persekutuan Catur Malaysia (MCF); Badan Amal Kasih Ibu dan Yayasan Kesejahteraan Bandar (YKB)

Terdahulu dalam ucapan, Tengku Adnan berkata, festival ini bertujuan membentuk generasi yang memiliki keyakinan diri tinggi, berketrampilan, berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah serta menghadapi pelbagai cabaran hidup.

"Ini kerana, catur adalah sukan yang boleh mengajar kita kemahiran dan kualiti yang boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian.

"Permainan catur juga memerlukan kesabaran untuk mengkaji dengan teliti apa yang sedang berlaku dan bertanggungjawab ke atas tindakan yang dilakukan serta tidak membuat keputusan terburu-buru," katanya.

Turut diadakan adalah Program Gen Y Kreatif yang memberi tumpuan kepada program yang mengadaptasi minat dan genre golongan muda di Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 6:48 PM