KELAS muzik antara yang wajib diambil untuk pembelajaran di rumah.
MENJALANI kelas balet pada setiap hujung minggu.
MASA bermain. Kirua (kanan) bermain lego bersama adik-adiknya.
ANAK belajar di rumah setanding pelajar di sekolah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Masih ingatkah anda kisah Hafiza Abd Rahman, 32, dan suaminya, Azhar Zahir, 32, yang memilih untuk menyekolahkan keempat-empat anak mereka di rumah?

Kisah mereka yang pernah disiarkan dalam Harian Metro, enam tahun lalu memberi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk turut melakukan perkara serupa. Malah ramai ibu bapa memilih untuk mengajar sendiri anak-anak mereka selepas melihat kejayaan pasangan ini.

Kini, selepas hampir 13 tahun memperkenalkan dan memperjuangkan kaedah pembelajaran di rumah kepada umum, baik Hafiza mahupun suami berasa perjalanan ini baru saja bermula. Dalam tempoh ini, anak mereka, Kirua Hakimy, 13, Ashyekin Rei Hikaru, 11, Afiqah Yunaru, 10, dan Adany Aurora Hydeaki, 9, tidak pernah disogokkan dengan kesenangan mahupun dimomokkan dengan pemahaman negatif mengenai struktur kaedah pembelajaran lain.

Jelas Hafiza, dia dan suami sentiasa berpegang kepada ayat ‘insan paling bahagia tidak memiliki segalanya yang terbaik, tetapi dialah insan yang mengubah setiap sesuatu menjadi hebat’. Malah mereka percaya kepada potensi anak cilik yang dididik sebagai 'homeschooler', boleh digilap menjadi cemerlang dalam pelbagai bidang dengan kerjasama semua pihak.

Ini kerana anak-anak yang dididik secara kaedah pembelajaran di rumah lebih optimistik disebabkan terikat dengan jadual harian, mingguan dan bulanan serta lebih terurus sepanjang penggal pengajian kerana pengajian mereka merangkumi secara holistik bagi aktiviti akademik, kurikulum tambahan dan aktiviti kemasyarakatan (sebagai sukarelawan). Ini disempurnakan dengan pemantauan dan bimbingan ibu bapa, guru persendirian dan jurulatih bertauliah berbanding sistem pendidikan konvensional.

Sepanjang 13 tahun membina sekolah di rumah, Hafiza membuat perancangan terbaik untuk keempat-empat anaknya. Ia bukan dalam tempoh yang singkat, namun melalui fasa demi fasa yang dimulakan dengan perancangan rapi.

Walaupun ramai dalam kalangan homeschooler tidak gemar mengukur kemahiran dan kebolehan anak-anak dengan gred. Subjek akademik keempat-empat anaknya membabitkan lima sukatan pelajaran dan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia, International Baccalaureate, mata pelajaran dari Singapura, England dan Amerika Syarikat sejak usia tiga tahun hingga ke hari ini dan sentiasa dikemas kini mengikut kehendak format peperiksaan terbaharu.

Pasangan ini juga akui sangat proaktif dalam memantau pencapaian anak-anak kerana mahu sentiasa mendorong mereka agar mencintai ilmu dalam pelbagai bidang walaupun seringkali kurikulum yang diminati anak-anak sukar didapati di pasaran tempatan.

“Meskipun berdepan dengan cabaran untuk setiap penggal, Alhamdulillah, kami amat bertuah kerana sering mendapat bantuan rakan rapat dan kenalan dari dalam dan luar negara bagi melengkapkan misi pendidikan yang menyeronokkan ini.

“Bagi pembelajaran tambahan, kami sentiasa memberi galakan anak-anak menceburi seni tari balet iaitu pensijilan akreditasi daripada Royal Academy of Dance, United Kingdom (RAD), mengikuti kelas seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate do, aikido, brazilian jiu jitsu, judo dan wushu. Di samping itu, mereka menjalani senaman terapi pilates dan yoga, seni muzik dan pensijilan akreditasi Trinity College London (Trinity), kelas Bahasa Inggeris, Mandarin, asas Bahasa Jepun, Sepanyol dan Perancis,” katanya.

Untuk balet, keempat-empat anaknya mengikuti kelas ini sejak kecil sehingga ke hari ini dan mengekalkan markah tertinggi dalam keputusan penilaian setiap tahun yang dilakukan pemeriksa dari luar negara. Begitu juga dengan muzik apabila setiap orang memilih alat muzik mereka sendiri ketika usia meningkat sembilan tahun. Kirua memilih dram, Hikaru memilih piano dan biola, Yunaru gitar klasik manakala Hydeiki masih berlatih piano.

Walaupun perlu menjalani pelbagai kelas dengan rutin harian pembelajaran di rumah, berkat usaha gigih tanpa jemu, mereka sentiasa mendapat pencapaian cemerlang bagi setiap peperiksaan rasmi dan markah tertinggi dalam setiap gred peperiksaan.

Anak-anak juga beroleh pingat emas bagi setiap acara terkini dalam perlawanan di peringkat daerah, negeri dan nasional yang dianjurkan pelbagai pihak. Namun begitu, mereka masih terus giat berusaha memperbaiki dan meneroka setiap bidang ilmu ini sebagai persediaan dan bekalan untuk masa hadapan.

Panduan sekolah di rumah

Jelas Hafiza, dia memahami ramai ibu bapa yang berminat untuk memulakan kaedah pembelajaran di rumah. Kaedah ini boleh dilaksanakan secara berperingkat, separuh masa atau sepenuh masa walaupun anak-anak anda mengikuti sesi pembelajaran rasmi di sekolah awam, sekolah swasta atau sekolah khas.

Perkara penting yang harus dititikberatkan sebelum pemilihan mata pelajaran akademik dan kelas kurikulum adalah keperluan mengenali kaedah pembelajaran di rumah bagi memudahkan proses penyediaan bahan pembelajaran. Terdapat kira-kira 10 kaedah pembelajaran di rumah yang utama diamalkan di seluruh dunia iaitu tradisional, klasik I & II, Montessori, Charlotte Mason, Waldorf, Unschooling, Elektik, keagamaan dan kepelbagaian kecerdasan.

“Untuk itu, ibu bapa dan penjaga bebas mengguna pakai pelbagai kaedah mahupun gabungan kaedah dalam suatu masa, mengikut keperluan khas anak dan fokus peribadi keluarga. Ibu bapa juga

boleh mendapatkan khidmat guru dan jurulatih persendirian mengikut peruntukan perbelanjaan keluarga serta melengkapkan diri dengan ilmu baharu ini dengan pelaburan bahan ilmiah berkaitan topik pembelajaran di rumah. Ikuti seminar dan bengkel yang berkait rapat dengan pendidikan alternatif dan holistik sebagai input kumulatif agar ibu bapa mempunyai panduan dan tanda aras sebelum mengorak langkah lebih jauh,” katanya.

Tambahnya, selepas mempelajari dan memahami setiap pilihan kaedah pembelajaran di rumah, penjaga boleh mula mendekati anak-anak dalam mengenali sifat, sikap dan keperibadian secara individu. Amat penting bagi ibu bapa dan penjaga mengenal pasti sama ada anak-anak memiliki cara pembelajaran bersifat visual, auditori atau kinestetik sebelum penyediaan mata pelajaran dan kurikulum pilihan.

Selanjutnya, ibu bapa boleh mula mencari mata pelajaran dan aktiviti kurikulum bersesuaian dengan lebih terperinci. Daripada garapan ini, barulah ibu bapa merangka jadual harian.

“Jadual harian keluarga yang diatur perlu diubah secara berkala mengikut kesesuaian dan situasi anak-anak dan amalkan prinsip berterusan. Rangkakan jadual masa lapang anak-anak agar termasuk dengan aktiviti lawatan dan pemberian bantuan ke rumah anak yatim dan pusat jagaan orang tua secara rutin mingguan atau bulanan,” ujar Hafiza.

Sedia ruang pembelajaran selesa di rumah

Bagi ibu bapa yang ingin menyekolahkan anak-anak di rumah, perkara pertama yang boleh dilakukan adalah menyediakan ruang belajar dan perpustakaan mini di rumah. Setelah itu, boleh ditambah baik dengan penambahan ruang makmal sains mini dan komputer, akses Internet, kamera digital, pencetak, cakera keras, laman web atau blog bagi salinan dan rujukan setiap ahli keluarga agar mereka dapat meluangkan masa mengulang kaji bersama-sama.

Ibu bapa dan penjaga juga perlu menggalakkan anak-anak mencuba inovasi terkini, mempelbagaikan aktiviti dan mencipta detik keriangan bersama dalam setiap sesi pembelajaran. Tambahkan etika kualiti dan penghargaan yang berpanjangan buat si cilik agar mereka dapat terus mendorong diri ke arah konsep pembelajaran yang positif dan efektif.

“Apa yang saya lakukan adalah menerapkan elemen motivasi kepada anak-anak dengan selalu berpesan bahawa harga diri bukan terletak pada pertuturan, namun pada perbuatan yang dibuktikan. Ini kerana, insan yang luar biasa itu amat sederhana dalam tutur kata tetapi hebat dalam tindakan,” katanya.

Sebagai tenaga pengajar, ibu bapa disaran menjadi model kepada anak-anak. Untuk itu kurangkan bercakap mengenai perkara yang tidak relevan, lebihkan memerhati dan bertindak. Sentiasa berpesan kepada anak-anak agar jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang lebih arif dan tidak takut pada gagal. Didik anak-anak agar belajar daripada kegagalan dan berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan.

“Sebagai ibu, memang sangat mencabar untuk meneruskan perjuangan menjadi guru di rumah. Ini kerana banyak perkara yang akan menjadi halangan untuk bertindak dengan lebih baik. Apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa ingat tujuan utama pembelajaran di rumah adalah untuk membolehkan anak-anak generasi ini menjadi lebih pintar dalam semua segi seiring keupayaan teknologi.

“Mereka juga boleh lebih memahami insan lain, berinteraksi dan komunikasi serta menjadi pendengar lebih baik untuk semua peringkat umur. Jika dibekalkan dengan kemahiran sosial dan implikasi emosi, sekolah di rumah boleh menjadi kaedah terbaik untuk mengatasi jurang masalah pendekatan pendidikan yang wujud selama ini,” katanya.

Bagi ibu bapa yang memerlukan idea untuk memulakan sesi pembelajaran di rumah, boleh melayari laman web LittleKittle.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 6:31 AM