ISHAK diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Penolong Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Muda/Sik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM105,000 berkaitan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di Sik antara 2 Ogos hingga 18 Ogos tahun lalu.

Sejurus dibacakan semua pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah, Ishak Ismail, 56, mengaku faham dan meminta dibicarakan pada prosiding di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang tunai RM55,000 daripada Nor Azman Hashim, 42, atau dikenali sebagai ‘Adam’ di depan Central Square, Jalan Kampung Baru, Taman Petani Jaya, Sungai Petani, pada 2 Ogos 2016, jam 3.51 petang.

Suapan itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Penolong Jurutera Awam di JKR Kuala Muda/Sik menyokong dan memastikan kerja menebang pokok dan mengorek keluar akar seluruh jalan negeri di Sik, bagi Zon 1 dan Zon 3, masing-masing diberi kepada Hash Padu Enterprise dan Tanjak Perkasa Enterprise manakala Sri Nadiya Enterprise diberi kontrak kerja penyelenggaraan penghadang jalan di jalan negeri (Zon 2) di Sik.

Bagi pertuduhan kedua, Ishak pada jam 8 malam, 4 Ogos lalu, di depan Hotel Park Avenue, Sungai Petani didakwa meminta rasuah RM20,000 daripada Azman bagi kerja menebang pokok dan mengorek keluar akar bagi seluruh jalan negeri di daerah Sik, Kedah (Zon 2) diberikan kepada Panji Mega Enterprise.

Ishak juga didakwa meminta rasuah RM30,000 dengan mengirim SMS daripada nombor telefon peribadinya ke talian nombor milik Azman yang ketika itu berada di depan SP Plaza di Jalan Ibrahim, Sungai Petani dekat sini, pada jam 6.55 petang, 14 Ogos lalu bagi memastikan Jawatankuasa Sebut Harga yang bermesyuarat pada 21 Ogos lalu memberikan sebut harga No: JN/52/2016 bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun di jalan negeri di Kampung Balong Ayam/Cepir, Sik diberikan kepada ZNZ Warisan Enterprise.

Bagi pertuduhan ketiga dan kelima, Ishak didakwa menerima rasuah RM75,000 dan RM30,000 daripada Azman untuk memastikan empat syarikat iaitu Hash Padu Enterprise, Panji Mega Enterprise, Tanjak Perkasa Enterprise dan Sri Nadiya Enterprise serta syarikat ZNZ Warisan Enterprise mendapat sebut harga masing-masing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di No 67, Batu 14, Simpang 3, Sungai Daun Yan, pada 9 dan 18 Ogos 2016, jam 4.45 petang dan 4.54 petang.

Bagi kesalahan meminta dan menerima rasuah, dia dituduh mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sementara perbicaraan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:05 AM