Mohammad A'sim (kiri) bersama Dr Kisroh (kanan) menunjukkan replika bunga bangkai iaitu bunga tertinggi di dunia di Taman Botani Negara Shah Alam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Negara khususnya Taman Botani Negara Shah Alam, mencatat sejarah apabila bakal menerima bunga tertinggi di dunia iaitu Titan Arum atau turut dikenali sebagai bunga bangkai.

Tumbuhan yang berasal dari hutan Khatulistiwa Sumatera, Indonesia, itu sangat unik kerana mempunyai saiz besar yang mampu mencecah ketinggian melebihi sembilan meter dan berat sehingga 116 kilogram (kg).

Pensyarah Universitas Nasional Indonesia Dr Kisroh Dwiyono berkata, Titan Arum atau nama saintifiknya Amorphophallus Titanum adalah tumbuhan unik dan istimewa kerana ia tumbuhan tidak berdahan serta mengeluarkan bau busuk.

“Tumbuhan ini sangat unik kerana ia seolah-olah berdiri sendiri selain mengeluarkan bau busuk seperti bangkai.

“Disebabkan itu tumbuhan ini turut dikenali sebagai bunga bangkai kerana baunya yang kurang menyenangkan. Bagaimanapun, bau ini tidak selalu dihidu kerana kebiasaannya tumbuhan ini hanya mengeluarkan bau antara jam 5 hingga 7 petang,” katanya ditemui pada sesi taklimat tumbuhan unik berkenaan di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Taman Botani Negara Shah Alam Mohamad A’sim Md Ali.

Dr Kisroh berkata, tumbuhan yang jarang ditemui itu dikategorikan sebagai tanaman liar daripada keluarga Araceae yang mempunyai bunga cantik seakan Cala Lily perang.

Menurutnya, bau busuk dikeluarkan adalah untuk menarik kumbang dan lalat yang menjadi makanannya.

Menariknya, tumbuhan itu turut mempunyai bunga dan ia mampu berkembang sehingga lima meter bergantung kepada tempoh matangnya.

Dalam pada itu, Mohamad A’sim berkata, Titan Arum bakal menjadi tarikan terbaru Taman Botani Negara Shah Alam dan ia akan ditanam berhampiran kawasan Rumah Iklim Empat Musim.

“Setakat ini, tiga anak pokok sudah ditanam dan diletakkan bawah jagaan Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian di Serdang.

“Kita jangka tumbuhan ini dibawa ke Taman Botani pada Jun ini bergantung kepada keadaan tumbuhan itu,” katanya.

Mohamad A’sim berkata, Taman Botani kini menggalas tanggungjawab memastikan tumbesaran Titan Arum supaya habitatnya kekal sama seperti tempat asal.

“Saya yakin tumbuhan ini akan menjadi tarikan utama pelancong dan penyelidik dalam dan luar negara dan kita sendiri akan menamakan semula tumbuhan ini bersesuaian dengan identiti negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:08 AM