PENGARAH Urusan UFL Datuk Radha Krishnan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif UFL Datuk Malek Noor (lima dari kanan) bersama Ahmad Farhan (lima dari kiri) pada majlis pengumuman penajaan UFL kepada pasukan berbasikal TSG di Wisma UFL, semalam.

Kuala Lumpur: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan untuk beraksi dalam siri perlumbaan profesional benua tahun depan dalam usaha memantapkan status TSG sebagai antara pasukan terbaik Asia.

Menduduki tangga ketujuh dalam siri jelajah Asia tahun lalu, TSG terus mendapat penghormatan apabila tahun ini saja sebanyak 17 jemputan perlumbaan termasuk satu di Jerman berstatus profesional benua.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, jemputan itu menunjukkan maklum balas positif dalam usaha untuk merealisasikan impian berlumba di Tour de France.

Katanya, seandainya TSG berjaya membuktikan kemampuan tidak mustahil untuk melihat kelibat pelumba negara dalam perlumbaan basikal berprestij itu.

“Jemputan diterima termasuk dari Jerman membuktikan TSG mula mendapat perhatian. Tahun lalu kami dijemput berlumba di Azerbaijan dan itu penghormatan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) serta penganjur kepada TSG.

“Justeru kami menetapkan sasaran lima tahun untuk beraksi di Tour de France dan ia bukan misi mustahil andai ada syarikat sanggup bergandingan bersama untu7k menjadikan impian itu satu realiti,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan pasukan itu beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan membuka tirai minggu depan, Farhan yakin barisan pelumba TSG akan mampu menjadikan sasaran muncul juara peringkat dan mempertahankan jersi pelumba terbaik Asia menjadi realiti.

Tahap kelajuan yang mencecah 60km sejam sepanjang berkampung di Melbourne selama 45 hari dan menyertai perlumbaan dua kali seminggu mengukuhkan lagi persediaan pasukan dari Terengganu itu.

“Saya tahu mereka sudah cukup bersedia menghadapi saingan LTdL kali ini. Ada pelumba yang turun berat sehingga 6 kilogram sepanjang menjalani program itu dan mereka nampak begitu bersemangat ketika ini,” katanya.

Terdahulu TSG mendapat suntikan semangat baru menjelang saingan LTdL mendapat tajaan daripada Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), pengedar peralatan sukan, kecergasan dan rekreasi bernilai RM100,000, peningkatan 1,000 peratus berbanding tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:15 AM