PEMAIN THLT Nur Aisyah Hashim (kiri) diasak pemain PKS UNITEN Surizan Awang Noh.

Kuala Terengganu: Pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga apabila mudah menewaskan UNITEN 5-1 dalam aksi terakhir pusingan pertama di Stadium Hoki Batu Buruk petang semalam.

Tuan rumah yang membariskan ramai pemain kebangsaan membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi gol padang Nur Aisyah Hashim.

TLHT yang menguasai permainan menambah jaringan kedua, juga menerusi gol padang sumbangan pemain tengah kebangsaan Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-28 untuk selesa mendahului 2-0.

Memasuki babak kedua perlawanan pasukan bimbingan Mohd Asari Abd Aziz itu terus garang memburu jaringan namun dihampakan benteng pelawat yang dilihat banyak bertahan.

Tuan rumah menambah gol ketiga apabila kapten Siti Noor Amarina Ruhani mudah menolak masuk hasil gerakan awal pukulan sudut penalti minit ke-31.

Berselang dua minit selepas itu hasil serangan balas pasukan pelawat mendapat gol pertama melalui tolakan Fatin Shafika Mohd Sukri untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Selepas itu, TLHT memperkemaskan asakan dan menambah jaringan keempat menerusi pukulan kencang Wan Norfaiezah Md Saiuti pada minit ke-37.

Sebelas minit sebelum berakhir permainan Wan Norfaiezah yang juga pemain kebangsaan menambah duka pelawat apabila meledak jaringan kelima pasukannya untuk menang 5-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:18 AM