UNITED akan berkunjung ke Ewood Park selepas aksi Eropah.
Reuters

London: Sudah 22 tahun berlalu sejak Manchester United dan Blackburn Rovers bersaing merebut kegemilangan dalam Liga Perdana Inggeris namun permusuhan itu akan disemarakkan semula apabila mereka bertemu pada pusingan kelima Piala FA, Ahad ini.

Ketika Blackburn berada di zon penyingkiran Liga Kejuaraan dan ketidaktentuan mengenai masa depan pengurus mereka Owen Coyle, hari-hari gemilang mereka kelihatan sudah dilupakan.

Bagaimanapun, pada permulaan era Liga Perdana, mereka adalah pasukan kuat yang mampu mencabar penguasaan United.

Diurus oleh Kenny Dalglish dan dibiayai jutawan industri besi Jack Walker, Rovers satu-satunya pasukan yang memenangi kejuaraan selain United antara 1993 dan 1997.

Kejayaan mereka pada 1995, yang dikemudi bekas penyerang England, Alan Shearer, menyekat United daripada muncul juara lima tahun berturut-turut dan mereka turut muncul naib juara pada 1994.

Tidak seperti United, yang menggunakan kejayaan mereka pada awal 1990-an, apabila Liga Perdana mula mendapat suntikan kewangan yang besar hingga ke hari ini untuk menjadi satu daripada kelab terkaya dunia dan paling berkuasa, Blackburn merudum dan tersingkir.

Dalglish beralih sebagai pengarah bola sepak selepas mereka menang liga namun penggantinya Ray Harford tidak mampu mengulangi magis itu.

Mereka berakhir di tangga ketujuh pada 1996 dan tidak langsung mampu mencabar kejuaraan divisyen utama selepas itu.

Selepas tersingkir daripada Liga Perdana pada 2012, mereka kini di tangga ke-23 daripada 24 pasukan Liga Kejuaraan dan berdepan prospek merosot ke divisyen ketiga, selepas menang hanya tujuh daripada 31 aksi liga musim ini.

Piala FA bagaimanapun memberikan mereka sedikit tuah. Mereka menundukkan Queens Park Rangers pada pusingan ketiga sebelum menyingkirkan Blackpool dan menerima kunjungan United ke Ewood Park buat kali pertama sejak 2012.

Sama ada Coyle masih bertugas Ahad ini tidak dipastikan ketika laporan media menyebut kedudukannya terancam berikutan kekalahan 1-2 Blackburn di tangan Sheffield Wednesday, awal pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:19 AM