GAMBAR disiarkan sebelum ini menunjukkan Haisam (kiri) ketika melaksanakan hukuman pada 2012. - DM
AFP

Stockholm: Sebuah mahkamah di Sweden semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang lelaki Syria kerana mengambil bahagian dalam pembunuhan tujuh askar rejim negara itu pada 2012.

Anggota kumpulan bersenjata di Syria, Haisam Omar Sakhanh, 46, mengambil bahagian dalam serangan pada Mei 2012 yang menangkap tujuh lelaki itu sebelum melaksanakan hukuman bunuh dua hari kemudian, kata mahkamah daerah Stockholm dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, dia menembak mati seorang askar berkenaan.

Haisam meninggalkan Syria pada awal 2013 dan mendapat suaka di Sweden. Pada September 2013 akhbar The New York Times menyiarkan video menunjukkan Haisam terbabit dalam pembunuhan askar berkenaan yang tidak dikenal pasti identiti mereka.

Dia ditahan di Sweden pada Mac tahun lalu dan mengaku itu dirinya di dalam video berkenaan, tetapi mendakwa diarahkan melaksanakan hukuman bunuh itu oleh komander tentera.

Katanya, hukuman itu dijatuhi mahkamah yang sah selepas proses perbicaraan penuh.

Bagaimanapun, mahkamah Stockholm itu menolak dakwaannya bahawa proses itu sah sebaliknya mendapati ‘tindakannya melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa’ selain ‘jenayah serius terhadap undang-undang negara dunia.’

“Malah askar berkenaan ditembak mati hanya dua hari selepas mereka ditangkap.

“Pembunuhan mereka juga dilaksanakan secara kejam apabila dipaksa melutut sebelum ditembak, malah ada antara mereka diikat tangan di belakang.

“Mangsa juga dilihat mempunyai pelbagai kecederaan dan tidak mampu langsung mempertahankan diri,” kata mahkamah.

Sebelum bertempur di Syria, Haisam bekerja sebagai juruelektrik di Milan, Itali, selama 10 tahun.

Dia ditangkap di Rome pada Februari 2012 kerana berkelakuan ganas ketika memprotes President Bashar al-Assad di luar kedutaan Syria, namun tidak menghadiri perbicaraannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 9:22 AM