BEBERAPA sami berdiri di hadapan anggota polis yang mengepung Wat Dhammakaya di wilayah Pathum Thani, Thailand, semalam. - AP
AP

Pathum Thani, Thailand: Ribuan anggota polis mengepung dan menyerbu sebuah kuil Buddha di sini semalam untuk menangkap ketua sami yang berdepan dakwaan jenayah termasuk menerima wang haram berjumlah AS$40 juta (RM178 juta).

Bagaimanapun, polis masih gagal menemui Phra Dhammajayo dan memberitahu, operasi menggeledah bahagian lain kawasan kuil itu disambung hari ini.

Dhammajayo, 72, adalah ketua ajaran Buddha Dhammakaya yang terkenal dengan kuil berbentuk seperti piring terbang.

Kira-kira 3,000 anggota polis tidak bersenjata mengepung kuil berkenaan pada awal pagi sebelum masuk untuk menangkap Dhammajayo.

Polis sebelum ini beberapa kali memanggil Dhammajayo untuk disoal siasat tetapi sami itu gagal menghadirkan diri dengan alasan uzur.

Pihak berkuasa juga pernah cuba masuk ke kuil berkenaan tetapi dihalang ribuan sami dan pengikut Dhammajayo.

Dhammajayo tidak muncul di tempat awam selama beberapa bulan dan tidak dipastikan sama ada dia masih berada di dalam kuil berkenaan.

Polis tidak berdepan dengan sebarang tentangan ketika masuk ke kuil berkenaan.

Dhammajayo didakwa atas tuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram dan menerima harta curi.

Bagaimanapun, kuil itu menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap tindakan kerajaan bermotifkan politik kerana ketua sami itu penyokong bekas Perdana Menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra.

Jabatan Siasatan Khas Thailand kali pertama memanggil Dhammajayo untuk disoal siasat pada Mac tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

Selepas beberapa kali gagal hadir untuk disoal siasat, sebuah mahkamah jenayah mengeluarkan waran tangkap kepada ketua sami itu pada Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 9:33 AM