KEBAKARAN hutan di pinggir bandar Christchurch. - Reuters

Wellington: Sekurang-kurangnya 11 kediaman musnah dan ratusan penduduk yang ketakutan berpindah berikutan kebakaran hutan melanda Christchurch, yang turut melihat pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di bandar di Pulau Selatan New Zealand itu susulan dua kebakaran kecil yang berlaku awal minggu ini merebak menjadi besar.

Majlis Bandar Raya
Christchurch berkata, lebih 1,800 hektar tanah di Port Hills terbakar. Kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan dengan ramalan angin kencang mungkin merebakkan kebakaran itu.

“Kami faham sukar untuk orang ramai meninggalkan rumah mereka tetapi kebakaran itu boleh bertukar arah dan merebak dengan cepat,” kata pegawai kanan polis, Ash Tabb.

Perdana Menteri, Bill English yang menaiki helikopter untuk ke zon bencana itu berkata, kebakaran itu mungkin disengajakan dan sedang disiasat.

Kebakaran hutan seperti itu sangat jarang berlaku di New Zealand yang lazimnya mendapat taburan hujan tetap, tidak seperti di Australia dan pantai barat Amerika Syarikat.

Setakat ini, bencana itu meragut satu nyawa apabila sebuah helikopter yang membawa air untuk menangani kebakaran terhempas dan membunuh juruterbangnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 9:35 AM