AHOK (tengah) melambai kepada penyokongnya selepas membuang undi di Jakarta, kelmarin. - AFP

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama berharap mampu meraih kemenangan mutlak dengan memperoleh lebih 50 peratus undi sekali gus mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya gabenor yang berakhir kelmarin.

Basuki yang dikenali sebagai Ahok dan pasangan naib gabenor, Djarot Saiful Hidayat kini mendahului dalam kiraan undi awal di kebanyakan lokasi di Jakarta.

“Kami dan semua penyokong sudah pasti mahukan kemenangan pada pusingan pertama.

“Kami tidak tahu sama ada kami menang dengan 51 peratus undi pada pusingan ini tetapi keputusan setakat ini membuatkan kami bersyukur.

“Kita lihat nanti, kerana pertempuran masih belum berakhir,” kata Ahok di ibu pejabat kempennya di Rumah Lembang di Menteng Jakarta, semalam.

Menurut kiraan awal, Ahok mendahului dengan kira-kira 43 peratus dan diikuti rapat bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan dengan 40 peratus undi.

Calon diisytiharkan menang jika memperoleh lebih 50 peratus undi, namun sekiranya gagal, undian majoriti pusingan kedua antara dua calon paling tinggi akan diadakan.

Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka diumumkan pada awal Mac depan dan pusingan kedua mungkin diadakan pada April.

Ahok sebelum ini dianggap sebagai calon pilihan tetapi peluangnya mempertahankan jawatan itu terjejas selepas dituduh menghina al-Quran hingga membawa kepada tuduhan jenayah dan dibicarakan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 9:43 AM