CHE Hasni (tengah) bersama pegawainya memeriksa dokumen pengenalan pemandu treler ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru.

Johor Bahru: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenal pasti 20 syarikat bas ekspres bermasalah tahun ini.

Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil semua pengusaha dan pengurusan syarikat bas terbabit dalam masa terdekat untuk diberi amaran.

Katanya, antara kesalahan yang direkodkan syarikat berkenaan ialah tidak menjelaskan pelbagai jenis saman serta gagal mendisiplinkan pemandu.

“Senarai rekod itu diperoleh menerusi rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pada pertemuan yang dijadualkan minggu depan, kami memanggil semua syarikat bas ekspres yang terbabit dengan pelbagai kesalahan seperti saman had laju dan juga sikap pemandu masing-masing,” katanya pada sidang media di Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai Arah Selatan di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 9:57 AM