Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah terbesar di negeri ini dengan nilai rampasan berjumlah RM12.5 juta.

Ketua JSJN Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, kejayaan itu hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan makmal memproses dadah di Setia Alam di sini, pada 14 Februari lalu serta menahan dua lelaki berusia 33 dan 41 tahun.

Menurutnya, polis menemui 6,437 biji pil disyaki ecstasy, serbuk pil ecstasy seberat 93 kilogram (kg), serbuk dan ketulan dadah dipercayai syabu seberat 235 kg, serbuk kafein seberat 109 kg serta beberapa peralatan bagi memproses dadah dianggar bernilai RM50,000.

Katanya, polis turut menyita satu BMW 7 Series dan Volkswagen Passat dianggar bernilai RM200,000.

"Sindiket dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu dan semua dadah dipercayai untuk pasaran dalam negara,

“Kedua-dua suspek direman sehingga 21 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya.

Amran berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya percaya akan ada beberapa lagi suspek lain akan ditahan selepas ini berhubung kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 11:26 AM
Amran (dua dari kiri) menunjukkan bahan dan peralatan memproses dada yang dirampas. - Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA