MOHD Ridhuan (dua kanan) dan Siti Sarah (kanan) bersama peguambela, Yusfarizal Yussoff (dua kiri) dan Adam Luqman Amdan memfailkan saman terhadap JAWI di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saddam Yusoff
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Suami isteri yang sudah tiga tahun berkahwin memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan enam lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menahan mereka atas kesalahan berkhalwat.

Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid.

Mereka menamakan Pegawai Penguatkuasa Jawi, Mohd Shiham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin serta Jawi, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan, pasangan itu mendakwa bahawa pada 8 Januari lalu, 1.30 pagi, defendan pertama dan kedua bersama enam lagi pegawai melakukan serbuan ketika mereka menginap di hotel dekat sini.

Plaintif pertama mendakwa semua pegawai itu terus menyerbu masuk dan merakam gambar serta video walaupun sudah dimaklumkan bahawa isterinya berada di dalam bilik tidak berpakaian lengkap.

Kedua-dua plaintif mendakwa walaupun sudah menunjukkan bukti iaitu foto sijil nikah dan gambar perkahwinan yang tersimpan di dalam telefon bimbit, defendan tetap berkeras mahu menahan mereka.

Pasangan itu bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur dan sudah didaftarkan dengan sempurna mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1984.

Sijil perkahwinan yang sah juga sudah dikeluarkan oleh Jawi.

Mereka memohon ganti rugi am, teruk, teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 4:15 PM