Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (tengah) bersama Azman (dua kanan) menunjukkan plakad Kempen Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik. FOTO Abdullah Yusof
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Gunung Semanggol: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan laksanakan sistem bayaran tol secara elektronik sepenuhnya di semua lebuh raya kendaliannya bermula 26 April ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya akan melaksanakan sepenuhnya sistem kutipan itu di semua 94 plaza tol.

Pelaksanaan itu termasuk di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) selain Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

"Melalui pelaksanaan itu, semua plaza tol kendalian kami bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan dikendalikan secara 100 peratus elektronik.

"Ia termasuk transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2(FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Linkedua selain NKVE dan ELITE," katanya ketika dalam Majlis Taklimat Media Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secara Elektronik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan di sini hari ini.

Menurutnya, bermula tarikh berkenaan tiada lagi transaksi secara tunai dikendalikan dan pengguna PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go atau pun SmartTAG sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:23 PM