ENJIN bot yang diguna untuk latihan meletup menyebabkan lapan anggota Pasukan Gerakan Am cedera, Isnin lalu. FOTO ihsan Polis Marin
BERNAMA

Ipoh: Anggota Pasukan Gerakan Am yang parah selepas terlibat dalam insiden bot meletup di Jeti Pangkalan Polis Marin di Kampung Acheh, Sitiawan, Isnin lalu telah sedarkan diri pagi semalam.

Isterinya, Rusmaria Muhammad, 37, berkata, suaminya berumur 35 tahun, yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menunjukkan perubahan positif apabila telah mula bercakap.

"Sebaik sahaja suami saya sedar, dia terus bercakap dengan saya dan dia sendiri tidak menyangka yang dia masih hidup selepas kejadian itu.

Soalan pertama yang dia tanyakan kepada saya adalah mengenai keadaan anak-anak kami dan dia mengharapkan semuanya dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi Isnin lalu, lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini cedera selepas enjin bot yang diguna untuk latihan rutin di pangkalan marin berkenaan meletup.

Menurut Rusmaria kecederaan di dada, kaki dan kepala menyebabkan suaminya dipindahkan ke HRPB sebaik sahaja mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung selepas kejadian.

"Suami saya patah enam tulang rusuk kanan dan doktor mengatakan kecederaan itu akan pulih secara beransur-ansur selain tiada kecederaan teruk pada bahagian kepala," katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan bersama anggota polis itu.

Rusmaria berkata sejak suaminya menganggotai PGA pada 2006, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan sama ada kemalangan atau kecederaan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Inilah kerjayanya yang berhadapan dengan risiko, malah anak-anak juga sudah mula mengerti jika ayah mereka tidak pulang lebih sebulan kerana bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Rusmaria terharu dengan bantuan dan sokongan moral daripada rakan-rakan kerja suaminya dan juga anggota keluarga sendiri termasuk dari segi kewangan.

"Apatah lagi anak bongsu kami yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kini demam dan memerlukan perhatian daripada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 7:30 PM