SULTAN Ibrahim berkenan memukul gong sebagai simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2017 sambil disaksikan Tunku Ismail ,Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Tee Kin Chai (tiga kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (kiri). FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian Festival Perarakan Chingay di Jalan Wong Ah Fook di sini yang dimeriahkan kira-kira 300,000 pengunjung, hari ini.

Baginda yang tiba ke perarakan Chingay yang diadakan kali ke-147 pada 9 malam turut ditemani Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.

Ia adalah kali kedua baginda merasmikan festival perarakan Chingay iaitu acara kebudayaan masyarakat Tionghua.

Ketibaan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong serta Presiden Persekutuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Hadir sama, Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang; Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Singapura Johor Bahru, Rajpal Singh dan Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Johor Bahru, Haris Nugroho dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pengunjung termasuk pelancong asing mula membanjiri pusat bandar raya ini sejak 5 petang tadi bagi menyaksikan perarakan berkenaan juga antara acara tahunan dalam kalender pelancongan negeri ini.

Perarakan yang membabitkan beberapa patung tokong dan kereta berhias berarak 10 kilometer bermula dari Kuil Kuno di Jalan Trus hingga Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek di sini.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pelbagai tarian tradisional dan kebudayaan masyarakat Cina, Melayu dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 10:14 PM